News Article -- October 09, 2002
CSAM rancang tumpu sektor peruncitan
(source : Berita Harian, Komputer)SEKTOR peruncitan yang kini menunjukkan kemajuan dalam penggunaan teknologi tinggi bagi meningkatkan operasi menjadi antara segmen baru kepada Computer Systems Advisers (M) Berhad (CSAM) mensasarkan peningkatan perolehan pada masa depan.
Pengarah CSAM, Peter Yong, berkata memandangkan sektor itu menjanjikan pertumbuhan tinggi dalam pasaran di rautau ini, syarikat akan menumpukan perkhidmatannya pada peruncitan yang turut menunjukkan kemajuan di pasaran tempatan.
Katanya, sektor peruncitan sekarang banyak memanfaatkan teknologi membolehkan mereka menikmati keberkesanan operasi selain berusaha memenuhi keperluan pelanggan yang semakin kompleks dan lebih meminta kepada perkhidmatan berasaskan teknologi maju.
"Perkembangan kini begitu baik pada sektor itu berbanding sebelum ini, dengan kebanyakan mereka masih beroperasi secara kecil-kecilan.
"Kini sektor berkenaan mula beroperasi secara besar-besaran dengan menumpukan kepada memanfaatkan teknologi maklumat (IT) selain sanggup membuat pelaburan besar dalam IT.
"Berdasarkan kepada perkembangan ini, CSAM mengadakan kerjasama dengan sektor itu terutama yang membabitkan persatuan peruncitan utama di Malaysia selain syarikat yang mempunyai rangkaian peruncitan meluas di seluruh negara," katanya di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman keputusan tahun kewangan suku pertama 2003 (Q1FY03) syarikat itu. Hadir sama ialah Pengarah Urusannya, Chuah Tai Eu.
Bagi Q1FY03, CSAM mencatat peningkatan perolehan sebanyak 26 peratus iaitu RM66.41 juta berbanding RM52.80 juta suku sebelumnya manakala keuntungan sebelum cukai adalah RM3.98 juta, naik lapan peratus mengatasi RM3.70 juta suku sebelumnya.
Chuah berkata, CSAM pada suku ini menikmati sumbangan kukuh terhadap keseluruhan perolehannya yang dipacu oleh sektor perkhidmatan dengan mencatat perolehan sebanyak 27 peratus berbanding 18 peratus tempoh yang sama bagi kewangan tahun lalu.